Tuesday, August 4, 2009

COMPLAINT LETTER TO PMUKM AND CCC

Lau Zhe Wei
No 210, Blok K18D,
Kolej Ibu Zain,
Universiti Kebangsaan Malaysia


Presiden
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
Universiti Kebangsaan Malaysia 3 OGOS 2009

Tuan,
PER : ADUAN MENGENAI SAMAN KE ATAS KENDERAAN PELAJAR

Dengan sukacitanya perkara di atas dirujuk.

Saya, Lau Zhe Wei, bernombor matriks A 119034 ingin membuat aduan serta memohon penjelasan untuk beberapa perkara berikut.

Perkara pertama adalah mengenai pekeliling rasmi. Adakah pekeliling rasmi telah dikeluarkan untuk melarang semua pelajar daripada meletakkan kereta di tempat letak kereta pelajar? Jika ada, saya memohon supaya mendapatkan satu salinan daripada pekeliling tersebut. Jika tidak, adakah saman yang dikeluarkan oleh Wisma Aman itu sah? Jika saman-saman tersebut tidak sah, perlukah saya membayar denda ke atas saman-saman tersebut? Menurut pemahaman saya, pengumuman di laman web rasmi UKM atau lebih spesifik lagi e-pelajar (epelajar/bul/bil.18062009-29) tidak membezakan antara kakitangan, pelajar dan pelawat.

Perkara kedua adalah mengenai perbezaan layanan antara kakitangan dan pelajar. Mengapakah saman maksimum untuk kakitangan adalah RM 25 manakala saman maksimum untuk pelajar adalah RM 50? Mengapakah berlaku perbezaan sedemikian? Bukankah sepatutnya denda yang dikenakan adalah sama supaya menjadi lebih adil atau kakitangan sepatutnya dikenakan denda yang lebih tinggi daripada pelajar memandangkan kakitangan yang terdiri daripada golongan yang lebih tua perlu menunjukkan teladan yang baik terhadap golongan pelajar yang lebih muda?

Perkara ketiga adalah mengenai peranan dan kedudukan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM). Apakah pendirian PMUKM terhadap isu larangan pelajar meletakkan kenderaan di tempat letak kereta pelajar. Sebagai seorang pelajar di UKM yang mengundi dalam Pemilihan Wakil Pelajar, saya memohon supaya dimaklumkan mengenai kedudukan yang diambil oleh wakil pelajar saya. Mengapakah PMUKM tidak mendesak atau mempertahankan supaya status quo yang lebih adil iaitu kesamarataan antara kakitangan dan pelajar dikekalkan?

Perkara keempat, apakah tujuan utama penyamanan dilakukan terhadap kenderaan-kenderaan di kawasan kampus? Daripada pengamatan saya, kereta-kereta pelajar sebenarnya tidak menghalang laluan trafik serta tidak menyebabkan masalah kepada pengguna-pengguna jalanraya yang lain. Sebaliknya, motosikal-motosikal yang diletakkan di laluan masuk ke tempat letak mosikal di hadapan Pusanika pula tidak dikenakan saman walaupun menghalang laluan masuk ke tempat letak motosikal dan menyusahkan pengguna yang lain. Untuk pemilik-pemilik motosikal lain yang terpaksa meletakkan motosikal di bahu jalan (tidak menjejaskan trafik secara serius) pula terpaksa menghadapi risiko dikenakan saman. Oleh itu, saya ingin memohon penjelasan mengapakah pelajar yang meletakkan kereta mereka di tempat letak kereta pelajar dikenakan saman manakala motosikal-motosikal yang menghalang laluan masuk ke tempat letak motosikal dan menghalang kelancaran trafik pula tidak dikenakan saman? Bukankah tujuan saman dikeluarkan untuk mendenda pemilik-pemilik kenderaan yang menghalang trafik tidak dicapai memandangkan kumpulan sasaran yang salah telah disaman.

Saya berharap agar pihak Tuan akan mengambil tindakan selanjutnya mengenai perkara-perkara di atas secepat mungkin supaya masalah-masalah pelajar yang membawa kereta ke kawasan kampus tidak menjadi lebih parah. Saya juga berharap agar Pihak Tuan dapat member maklum balas kepada saya selewat-lewatnya dalam masa 2 minggu supaya perkara ini tidak ditangguhkan lagi. Perhatian daripada pihak Tuan saya dahului dengan ribuan terima kasih.

Yang Benar,

______________
LAU ZHE WEI (017-4718098)
Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment